Sabtu, 15 Maret 2014
240 Majikan Dilarang Keluar Negara – KWSP

KUALA LUMPUR – Seramai 240 pengarah syarikat dikenakan perintah larangan meninggalkan negara sejak Januari hingga 30 September lalu kerana tidak membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, pengarah syarikat terbabit hanya dibenarkan meningggalkan negara selepas menyelesaikan tunggakan caruman KWSP tersebut.
“Langkah menghalang pengarah syarikat yang tidak membayar caruman meninggalkan negara diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991. Bagaimanapun, jumlah ini mencatatkan penurunan berbanding 272 pengarah syarikat pada suku tahun sebelum ini,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Nik Affendi dalam pada itu memaklumkan, pada suku tahun ketiga 2013, seramai 125 majikan tidak mencarum dikenakan denda terkumpul RM168,536 oleh mahkamah berbanding 156 majikan pada suku tahun kedua berakhir 30 Jun 2013.
Menurut beliau, majikan terbabit didenda kerana tidak membayar caruman bulanan sebelum atau pada 15 haribulan pada setiap bulan dan KWSP memandang serius kesalahan itu bagi melindungi kepentingan ahli KWSP.
“Penurunan jumlah majikan yang tidak mencarum daripada suku tahun sebelumnya berikutan penguatkuasaan tegas KWSP serta membuktikan kesedaran majikan yang semakin meningkat untuk mencarum bagi kesejahteraan pekerja mereka,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, mahkamah lazimnya membenarkan majikan yang didenda menjelaskan tunggakan caruman secara ansuran sehingga enam bulan dan KWSP akan mengkreditkan tunggakan caruman itu ke dalam akaun ahli terbabit setelah semua tunggakan dibayar.
Sehubungan itu, KWSP menggesa orang ramai supaya menyemak penyata KWSP dengan lebih kerap bagi memastikan caruman telah dibayar oleh majikan mereka termasuk secara online melalui i-Akaun.
Tambahnya, ahli KWSP digesa mendapatkan penjelasan segera daripada majikan atau membuat laporan kepada KWSP dengan mengemukakan dokumen sokongan seperti slip gaji dan surat perlantikan jika terdapat keraguan.
“Laporan boleh dibuat di cawangan KWSP berdekatan atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-8922 6000 dari pukul 8 pagi hingga 6 petang dari hari Isnin hingga Jumaat. Ahli boleh juga mengemukakan pertanyaan secara `online’ melalui laman web myEPF di http://enquiry.kwsp.gov.my,” katanya.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar